LIVERPOOL – Pengurus Everton, Carlo Ancelotti memuji Dominic Calvert-Lewin selepas penyerang sensasinya itu meledak hatrik ketika membelasah West Ham United 4-1 pada aksi Piala Liga di Goodison Park awal pagi semalam sekali gus mara ke peringkat suku akhir.
Penyerang berusia 23 tahun itu berjaya menjaringkan tiga gol bermula minit ke-11, 78 dan 84 buat Everton untuk merakam hatrik kedua peribadinya selain satu lagi jaringan daripada Richarlison dalam perlawanan tersebut
Justeru, Ancelotti, 61, percaya Calvert-Lewin layak mendapat panggilan daripada pengurus England, Gareth Southgate beraksi dalam skuad utama England selepas berjaya mengumpul keseluruhan lapan gol daripada lima perlawanan setakat ini.
“Saya akui dia bermain dengan baik buat masa ini. Permainannya cukup memberangsangkan dan saya percaya dia boleh menjaringkan lebih banyak gol musim ini.
“Saya tidak kisah jika England mempunyai barisan penyerang terbaik ataupun tidak tetapi Calvert-Lewin perlu ada dalam skuad itu kerana dia seorang pemain yang ada bakat besar,” katanya.
Sementara itu, Calvert-Lewin mengakui, amat berharap namanya mampu tersenarai dalam skuad The Three Lions menghadapi dua perlawanan Liga Negara-Negara Eropah menentang Belgium serta Denmark pada 12 dan 15 Oktober ini.
“Impian saya mahu mewakili England tetapi saya tidak mampu mengawalnya kerana keputusan terletak kepada jurulatih. Saya cuma mampu memberikan prestasi terbaik dalam setiap perlawanan bersama Everton,” jelasnya. – AGENSI