CINCINNATI – Pemain sensasi Britain, Emma Raducanu mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk menyingkirkan legenda tenis Amerika Syarikat (AS), Serena Williams pada aksi pertama Terbuka Cincinnati awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Raducanu yang baru berusia 20 tahun tidak menunjukkan ‘belas ihsan’ terhadap pemain senior berusia 41 tahun itu dengan merekodkan kemenangan straight set 6-4, 6-0 sekali gus mempamerkan prestasi terbaiknya tahun ini.
Kata Raducanu, apa yang dipamerkan di atas gelanggang terlalu kecil berbanding apa yang telah dilakukan oleh Serena sepanjang hampir 25 tahun kariernya sebelum ini.
“Saya tidak tahu bagaimana hendak mulakan ulasan kemenangan ini, tetapi tabik hormat harus diberikan kepada Serena yang memiliki perjalanan karier yang luar biasa.
“Sudah tentu saya begitu bangga apabila dapat memiliki pengalaman bersaing di atas gelanggang yang sama dengannya, apatah lagi meraih kemenangan yang begitu positif.
“Mengulas mengenai perlawanan, pada set pertama saya akui agak gugup, tetapi pada set kedua segalanya lebih mudah dan saya harap dapat teruskan momentum untuk melangkah jauh,” katanya.
Serena merupakan juara Grand Slam sebanyak 23 kali telah mengesahkan bakal bersara secara rasmi apabila tamat kempen Terbuka AS yang bermula pada penghujung bulan ini.
Raducanu sebelum ini dikritik hebat selepas gagal tampil konsisten selepas bergelar juara Terbuka AS tahun lalu.
– AGENSI