LONDON – Prinsipal Ferrari, Mattia Binotto enggan menekan butang panik dengan melakukan perubahan mendadak dalam barisan jurutera serta pegawai selepas pasukan gagal mempamerkan prestasi konsisten pada kempen Formula Satu (F1) musim ini.
Sebagai rekod, Ferrari berjaya mendahului kejuaraan dunia selepas tiga perlumbaan Grand Prix (GP) musim ini, tetapi kini ketinggalan 97 mata di belakang Red Bull bagi kategori pengeluar, manakala pelumba utama, Charles Leclerc pula ketinggalan 80 mata berbanding Max Verstappen.
Menurut Binotto, kelemahan yang ada pada jentera dikenal pasti dari semasa ke semasa selain percaya sekarang adalah masa untuk bekerjasama erat dengan semua pihak berbanding menuding jari mencari kesalahan masing-masing.
“Saya rasa kami tidak akan melakukan perubahan di belakang tabir sebaliknya saya mahu anak-anak buah saya terus berusaha mencari kelemahan dan memperbaiki situasi tersebut memandangkan kita kini sudah memasuki pertengahan musim dan perlu lebih fokus mencari penamat terbaik,” katanya.
Sementara itu, Binotto juga optimis Leclerc berupaya merapatkan jurang apabila saingan F1 kembali bersambung selepas cuti rehat musim panas pada GP Belgium yang dijadualkan bermula 28 Ogos depan.
“Sebagai pemimpin dalam pasukan ini sudah menjadi tugas saya untuk memberikan motivasi kepada pelumba-pelumba saya dan tiada sebab untuk Leclerc mengibarkan bendera putih pada perebutan kejuaraan dunia.
“Saya percaya masih banyak ruang dan peluang kerana saingan masih berbaki sembilan perlumbaan dan apa sahaja boleh berlaku. Apa yang penting kita menang bersama, dan jika keputusan tidak berpihak kepada pasukan ia turut ditanggung bersama,” katanya. – AGENSI