fbpx

Damok tekad bukti kehebatan di Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DAMOK (tengah) mahu membuat persiapan lebih rapi kali ini untuk mencari penamat terbaik selepas lima kali beraksi secara wildcard sebelum ini.

PENAMPILAN kali kelima dalam saingan Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) atas tiket wildcard mahu digunakan sebaik­nya pelumba negara, Syarifuddin Azman pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Oktober depan.

Dia yang akan beraksi bersama pasukan VisionTrack Racing sedia untuk membuktikan kemampuan selepas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif meletakkan sasaran kedudukan 10 teratas.

Meskipun mengakui keputusan yang dicatat ketika mendapat tiket wildcard sebelum ini kurang memberangsangkan, Syarifuddin yang lebih mesra dengan panggilan Damok tekad untuk merealisasikan cabaran di Sepang nanti.

“Sebenarnya saya sangat gembira untuk sahut cabaran yang diberikan oleh CEO (Shafriman). Beliau meletakkan sasaran untuk saya berada dalam kelompok 10 pelumba teratas dan saya akan buktikannya.

“Walaupun beberapa perlumbaan wildcard sebelum ini saya catat keputusan kurang memberangsangkan, saya mahu tebus balik. Saya tahu ramai yang kecewa dan saya juga kecewa dengan keputusan tersebut,” kata pelumba berusia 21 tahun itu.

Damok yang masih terkejut dengan pemilihannya sebagai pelumba wildcard berkata, dia sedia menggunakan tempoh selama dua bulan untuk melakukan persiapan terbaik sebelum turun beraksi di gelanggang sendiri.

Bagaimanapun, dia perlu memberikan fokus terlebih dahulu kepada pusingan keenam FIM Junior GP yang akan berlangsung di Litar Misano pada 3 September ini memandangkan dia kini berada di kedudukan kedua ke­seluruhan dengan 97 mata.

“Mengenai persiapan, sudah tentu saya perlu siapkan diri dari segi mental dan fizikal kerana secara jujur, saya masih terkejut dengan pengumuman ini. Perlumbaan wildcard sebelum ini pun kebanyakan datang secara mengejut.

“Saya perlu fokus pada perlumbaan Junior GP di Misano terlebih dahulu, kemudian baru berikan tumpuan 100 peratus untuk wildcard di Sepang nanti. Saya sangat gembira dan harap dapat fokus dalam saingan Ju­nior GP dan wildcard,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI