BRIGHTON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer bangga dengan persembahan memukau Juan Mata yang memainkan peranan penting dalam kemenangan 3-0 ke atas Brighton pada pusingan keempat Piala Liga di Stadium Amex awal pagi semalam.
Perancang tengah berusia 32 tahun itu dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas berjaya meledak satu gol pada minit ke-73 untuk merekodkan jaringannya yang ke-50 buat United sejak berhijrah daripada Chelsea pada 2014.
Selain itu, Mata turut berjaya mencipta gerakan gol buat Scott McTominay dalam babak pertama sebelum Paul Pogba memastikan kemenangan selesa The Red Devils menerusi sepakan percuma pada minit ke-80.
“Sudah lama Mata tidak menampilkan persembahan terbaik seperti ini. Saya sangat gembira kerana ia secara tidak langsung memastikan kemenangan United untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala Liga.
“Saya tidak terkejut Mata diangkat sebagai pemain terbaik jika dia bermain bagus seperti ini. Malah, dia juga kerap turun membantu bahagian pertahanan dalam perlawanan ini,” kata Solskjaer.
Ini adalah kemenangan ‘bersih’ United ke atas Brighton selepas terdahulu terpaksa mengharapkan Video Bantuan Pengadil (VAR) pada minit ke-100 untuk menewaskan lawan sama 3-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu lalu.
Kemenangan itu pastinya memberikan tonik tambahan buat United menjelang EPL minggu ini menentang Tottenham Hotspur yang dikendalikan bekas pengurus mereka iaitu Jose Mourinho di Stadium Old Trafford pada Ahad ini. – AGENSI