fbpx

Isu LCS: Wujudkan sidang khas Parlimen, bentangkan kertas putih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq (kiri) ketika hadir di IPD Dang Wangi, hari ini untuk memberi keterangan berhubung protes "Mana Kapal LCS", pada Ahad lalu.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi tiga cadangan kepada kerajaan dalam usaha menyelamatkan industri pertahanan negara daripada terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan pada masa akan datang.

Menurutnya, kerajaan perlu memanggil satu sidang khas Parlimen supaya wujud kerjasama bipartisan dalam usaha mencari jalan tengah dan menentukan hala tuju dunia ketenteraan negara ini.

“Ini kerana sebarang perancangan berkaitan ketenteraan perlu melibatkan semua parti dan ia tak boleh hanya tempoh masa pendek kerana kerajaan sering bertukar-tukar, berbilion ringgit melangkaui satu penggal.

“Jika ada sidang khas, bukan hanya untuk tuding jari tetapi juga kita buat satu kertas putih untuk dibentangkan.

“Walaupun perubahan kerajaan berlaku namun, dalam bab ketenteraan perbelanjaan yang cekap dan adil dapat dijalankan tidak kira siapa menteri pertahanan nanti,” ujarnya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Terdahulu, beliau bersama Siti Zabedah Kasim atau Siti Kasim antara 10 individu hadir untuk dirakam keterangan oleh polis berkaitan protes “Mana Kapal LCS” di hadapan Sogo Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara, Ahad lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar menjelaskan, pihak berkuasa perlu menahan jerung besar yang bertanggungjawab di sebalik ketirisan dalam skandal kes Kapal Tempur Pesisir (LCS)daripada memanggil dan menekan pihak yang memperjuangkan hak ketenteraan.

Ujarnya, kerajaan juga harus menyegerakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dan juga disusuli dengan pendakwaan ke atas mereka yang mendalangi skandal tersebut.

“Hal ini penting kerana nama-nama yang bertanggungjawab dalam ketirisan LCS telah disebut dalam Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan audit forensik turut dijalankan.

“Cadangan ketiga yang saya kemukakan kepada kerajaan adalah walaupun kita memperjuangkan dan menentang penyelewengan dalam ketenteraan, ia tidak bermakna kita ingin merampas hak ATM,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI