PETALING JAYA – Perbuatan seorang wanita didakwa mengerjakan umrah dengan mengenakan pakaian ihram terus mendapat kecaman malah, ada pihak membuat laporan polis terhadap insiden itu.
Terbaharu, Pengerusi Madrasah Tahfiz Al-Fath, Mohd. Asna Amin membuat laporan di Balai Polis Paroi, Negeri Sembilan semalam serta mendakwa perbuatan itu menghina Islam dan memperlekeh hukum agama.
“Perbuatan tersebut memalukan Malaysia yang agama rasminya adalah agama Islam. Pemakaian ihram adalah untuk golongan lelaki bukan wanita.
“Sebagai pengerusi madrasah tahfiz apatah umat Nabi Muhammad yang cintakan agama Islam, saya amat marah dan kecewa sekiranya insiden itu benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya lagi, pihak berkuasa diharap mengambil tindakan tegas bagi menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak supaya tidak membuat sesuatu yang menghina agama Islam.
Sebelum ini, tular di Twitter beberapa hantaran mengenai seorang wanita susulan videonya berada di Mekah dengan memakai ihram lelaki.
Berikutan itu, pada 12 Ogos lalu, Kosmo! Online melaporkan tindakan tegas menanti kepulangan seorang wanita yang didakwa mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki. -KOSMO! ONLINE.