SEBERANG PERAI – Menghidap penyakit arthritis sehingga menjejaskan pergerakan hariannya tidak sedikitpun menghalang Hawati Hassan, 59, yang berjaya menamatkan pengajian baru-baru ini.
Graduan sijil kursus jahitan pakaian dan fesyen itu melahirkan rasa syukur kerana berjaya mendepani rintangan sepanjang mengikuti pengajian separuh masa di GiatMARA Batu Kawan.
“Saya terpaksa menggunakan tongkat untuk naik turun ke kelas disebabkan penyakit arthritis yang menyerang pada bahagian lutut semakin teruk. Walau bagaimanapun, tenaga pengajar yang berpengalaman banyak membantu dan memberi sokongan sepanjang proses pembelajaran.
“Saya sendiri amat meminati bidang jahitan dan selepas ini, Insya Allah saya bercadang untuk menceburi bisnes pakaian yang akan diusahakan bersama anak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Graduasi GiatMARA 2022 di Kubang Menerong di sini hari ini.
Hawati antara 686 graduan yang menghadiri majlis graduasi yang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif GiatMARA, Datuk Jabar Azman Jaafar.
Sementara itu, bagi seorang warga emas, Noraza Nayan,68, kehidupan yang membosankan selepas pencen membuatkan dia mengikuti pengajian dalam kursus sama yang ditawarkan di GiatMARA Tanjung di George Town.
“Lepas pencen, tak tahu nak buat apa dan memang seronok rasanya bila berpeluang bertemu kawan-kawan semasa menghadiri kelas menjahit.
“Saya kini turut mencari peluang untuk memasarkan tudung jahitan sendiri yang lebih selesa dan berpatutan harganya,” tambahnya. KOSMO! ONLINE