SEREMBAN – Kes jenayah komersial di Negeri Sembilan menunjukkan peningkatan dengan 1,747 kes direkodkan melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM45.15 juta sepanjang Januari hingga Julai tahun ini.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, daripada jumlah itu penipuan merekodkan jumlah tertinggi dengan kerugian sebanyak RM39.72 juta iaitu 1,676 kes diikuti kes pecah amanah RM4.8 juta (12 kes), jenayah siber RM594,026 (11 kes), kesalahan di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang RM27,420 (38 kes) dan wang palsu RM2,300 (sembilan kes).
“Bagi kes penipuan pada Januari hingga Julai tahun ini berlaku peningkatan sebanyak 270 kes berbanding 1,406 bagi tempoh yang sama tahun lalu.
“Modus operandi kes penipuan ini termasuk Macau Scam dengan kerugian RM7. 6 juta, pelaburan (RM6 juta) , tipu tawaran kerja (RM1. 5juta), tipu menyamar (RM2 juta), belian atas talian (RM3. 8 juta), pinjaman tidak wujud (RM1. 3juta), Love Scam (RM1 juta) dan E-Financial Fraud (RM4.8juta),” katanya pada sidang akhbar di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai di sini hari ini.
Menurut Ruslan, jika diikutkan perkembangan semasa ketika ini, kes jenayah komersial menunjukkan tren peningkatan manakala kes jenayah konvensional seperti kes ragut, curi, pecah rumah dan jenayah kekerasan mencatatkan penurunan sedangkan negara sudah berada pada Fasa Peralihan ke Endemik. -KOSMO! ONLINE