fbpx

Wanita didakwa kes pengubahan wang haram RM2.04 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORIDA SYAKIRA (kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen Raub atas pertuduhan terlibat lima kes penggubahan wang haram bernilai RM2.04 juta.

RAUB – Seorang ahli perniagaan wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Raub di sini hari ini atas lima pertuduhan kes pengubahan wang haram berjumlah RM2.04 juta pada tahun 2021.

Bagaimanapun tertuduh Norida Syakira Agus Hadi,28, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan wang berjumlah RM1,317,658.84 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Lipis pada 16 Mei 2021 dan 10 Jun 2021 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat tertuduh, DSS Berkat Enterprise bagi tujuan pembelian perniagaan Sushi Go milik Chang Yi Hern.

Bagi pertuduhan kedua, Norida Syakira pada 8 Januari 2021 dan 20 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis telah memindahkan wang berjumlah RM242,770 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik Syarikat DSS Berkat Enterprise kepada akaun Islamic Berhad milik Mohamad Hanif Omar.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh pada 11 Januari 2021 dan 1 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis telah memindahkan wang berjumlah RM369, 700 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat DSS Berkat Enterprise kepada akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik syarikat sama.

Manakala bagi pertuduhan keempat, tertuduh pada 31 Januari 2021 hingga 20 Jun 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis telah memindahkan wang berjumlah RM32,500 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat DSS Berkat Enterprise kepada akaun CIMB Islamic Bank Berhad milik tertuduh.

Dalam pertuduhan kelima, tertuduh pada 17 Mei 2021 di Maybank Islamic Berhad Cawangan Kuala Lipis telah melupuskan wang berjumlah RM80,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik syarikat DSS Berkat Enterprise melalui sekeping cek.

Tertuduh didakwa mengikut subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2021 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4 (1) akta sama.

Ahmad Faizadh kemudiannya menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan meletakkan syarat tambahan, tertuduh perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan selain membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Sebutan semula akan ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI