ROLAND GARROS – Pemain pilihan kelima, Kiki Bertens meninggalkan gelanggang menggunakan kerusi roda selepas menewaskan Sara Errani yang kemudiannya didakwa pemain Itali itu sebagai sengaja memperbesar-besarkan kecederaannya.
Terdahulu, jaguh dari Belanda itu meneriak dan menangis disebabkan kekejangan kaki sebaik sahaja menyingkirkan Errani yang merupakan finalis tahun 2012 dengan keputusan 7-6 (7-5), 3-6, 9-7.
“Saya tidak suka apabila seseorang cuba bergurau dengan kamu. Saya tidak fikir dia (Bertens) mempunyai sikap hormat di gelanggang.
“Satu jam lalu, dia mengalami kecederaan dan ditolak menggunakan kerusi roda dan sekarang dia dalam keadaan sempurna dalam sebuah restoran. Saya tidak suka perkara seumpama ini. Maafkan saya,” kata Errani yang menyifatkan Bertens hanya berlakon.
Ditanya sama ada dia menyangka Bertens berlebihan terhadap kecederaannya, Errani menjawab ringkas bahawa ia memang tepat sekali.
Ditanya lagi sama ada Bertens harus menggunakan kerusi roda, Errani membalas, anda sepatutnya tanya kepada dia (Bertens) sendiri.
Bertens, 28, meninggalkan gelanggang sambil menjerit kesakitan selepas berjuang dalam keadaan fizikal yang sukar pada perlawanan yang mengambil masa tiga jam 11 minit.
“Secara jujurnya, ia seperti situasi menaiki rollercoaster. Saya tidak berasa selesa dengan fizikal, saya kekejangan dan saya fikir semua orang boleh lihatnya sendiri.
“Saya mengalami kekejangan pada kaki kiri dan kanan, kedua-dua tangan dan seluruh badan. Saya cuma merasai kesakitan,” jelas Bertens yang menghuni ranking No. 8 dunia. – AGENSI