PETALING JAYA – Basikal jenama BMX yang menjadi kegilaan golongan remaja era 1980-an kini terus menjadi buruan penggemar barangan lama luar atau dalam negara.
BMX Appollo antara jenama yang menjadi sebutan ramai ketika ini juga telah mencecah harga ribuan ringgit.
Basikal jenis ini turut digunakan pelakon lagenda negara, Faizal Hussein dalam filem berjudul Bujang Selamat dikatakan sebagai barang unik dan sukar untuk diperolehi ketika ini.
Ramai peminat barangan lama beranggapan walaupun mempunyai duit, namun untuk mendapatkan BMX tersebut sukar maka tiada gunanya.
Tinjauan di beberapa laman media sosial serta laman jualan atas talian mendapati, BMX Appollo kini telah mencecah RM5,000 sebuah.
Orang ramai yang masih memiliki kenderaan tersebut juga dinasihatkan untuk menyimpan dan membaik pulih sekiranya masih boleh digunakan.
“Kalau sesiapa yang masih ada barang ‘rare’ ini harapnya simpan lah, dua tahun lalu saya jual pun dah cecah RM3,000.
“Sekarang nak jumpa balik kemain payah lagi, kalau yang buruk-buruk pun orang sayang nak jual,” jelas Paan Romero.
“Ini yang orang cakap makin lama makin menjadi, makin lama makin bernilai,” kata Epul Bangsar. – KOSMO! ONLINE