fbpx

Saya selalu ingat mati – Lisdawati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LISDAWATI

Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS    Foto ZULFADHLI ZAKI

MEMBACA kisah kematian setiap hari sentiasa membuatkan Lisdawati mengingati Allah, tatkala mengingati bahawa usia dirinya semakin hari semakin tua.

Kata Lisdawati, dia selalu mengingati mati sejak setahun lalu selepas banyak membaca artikel berhubung kematian dalam media sosial.

“Rasa takut bila mengingati perkara kematian namun sedar semua yang hidup akan melaluinya nanti.

“Saya selalu ingatkan diri bahawa bila-bila masa sahaja nyawa saya akan ditarik Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani MoU di antara Nurflix.TV dengan UiTM, IMS dengan kerjasama AWS, baru-baru ini.

MENERUSI drama Light and Love, Lisdawati beroleh banyak ilmu untuk memperbaiki diri

Pemilik nama Nisdawati Nazaruddin itu memberitahu, dia juga sentiasa mengingatkan anak-anaknya agar mendalami ilmu agama sebagai benteng atau panduan utama dalam menjalani kehidupan seharian.

“Saya bawa anak-anak saya bersama-sama untuk mencari keredaan Ilahi, dengan memberikan didikan agama kepada mereka.

“Alhamdulillah, anak-anak saya termasuk anak tiri saya terima dengan baik. Mereka kini sedang belajar mengenai agama Islam,” katanya sambil mengalirkan air matanya.
Heroin filem KL Menjerit itu mengakui bahawa dirinya semakin tenang sekiranya menghadapi segala musibah yang berlaku kepadanya.

Sekiranya berlaku sebarang permasalahan dalam keluarganya, Lisdawati akan sentiasa mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi masalah itu.

“Kalau nampak salah seorang anak dingin dengan saya, saya akan jumpa dan mengajaknya bercerita sekiranya dia mempunyai masalah.
“Saya tidak mahu masalah berlarutan dan menimbulkan suasana tegang. Sekiranya ada masalah, saya mahu masalah itu diselesaikan seberapa segera,” ujarnya.

Light and Love

Ditanya mengenai perkembangan kariernya, Lisdawati, 42, berkata sedang menjalani penggambaran drama bersiri, Light and Love yang bakal bersiaran di dalam saluran televisyen online, Nurflix.TV pada Januari tahun depan.

Ujar pelakon itu, dia memegang watak sebagai isteri kepada pelakon utama yang juga suaminya, Fauzi Nawawi dan turut dibintangi beberapa pelakon lain.

“Drama ini mengisahkan konflik sepasang suami isteri yang sentiasa mengalami masalah antara satu sama lain.

“Setiap episod drama ini akan berakhir dengan nasihat daripada ustaz atau ustazah jemputan.

“Semua berdasarkan konflik yang berlaku dalam setiap episod,” terangnya.

LISDAWATI dan suaminya, Fauzi Nawawi berganding dalam drama Light and Love.

Realiti

Dia turut mengakui drama Light and Love banyak memberikan pengajaran hidup terhadapnya supaya sentiasa menjaga hubungan dengan Allah pada setiap masa.

Kata Lisdawati, watak yang dipegang dalam drama tersebut sangat rapat dengan kehidupannya dalam dunia realiti.

“Macam dalam drama ini, masalah komunikasi yang selalu berlaku oleh pasangan suami isteri dalam kehidupan seharian turut dipersembahkan kepada penonton.

“Jadi dalam drama ini, saya mendapati komunikasi secara bersemuka adalah cara yang terbaik sekiranya kita menghadapi masalah dengan seseorang.

“Selain itu, saya akan mengambil nasihat yang diberikan oleh ustaz atau ustazah jemputan dalam drama untuk memperbaiki diri saya menjadi muslimah yang lebih baik. Insya-Allah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI