LONDON – Persatuan Bola Sepak (FA) England akan mendakwa pengurus Chelsea, Thomas Tuchel serta pengendali Tottenham Hotspur, Antonio Conte selepas terlibat dalam insiden pergaduhan sebelum ini.
Kedua-dua jurulatih itu dilihat bertegang urat ketika Chelsea dan Spurs berkongsi satu mata apabila seri 2-2 pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berlangsung di Stamford Bridge Ahad lalu.
Pengadil perlawanan, Anthony Taylor turut melayangkan kad merah kepada Tuchel dan Conte selepas mereka terpaksa ditenangkan oleh pasukan masing-masing apabila bertelagah sebaik sahaja perlawanan tamat.
“Mereka berdua didakwa atas tuduhan melanggar Peraturan E3 FA selepas perlawanan antara Chelsea dan Spurs tamat pada 14 Ogos lalu. Insiden tersebut melayakkan mereka untuk disiasat.
“Kami mendapati tindakan yang dilakukan Tuchel dan Conte selepas perlawanan tamat merupakan salah laku. Oleh itu, Tuchel dan Conte diberikan tempoh hingga 18 Ogos untuk menjawab dakwaan ini,” kata FA dalam satu kenyataan.
Memandangkan sudah menerima layangan kad merah, kedua-dua pengurus itu akan berdepan penggantungan dan tidak dibenarkan untuk mengendalikan pasukan masing-masing pada perlawanan seterusnya.
Bagaimanapun, Tuchel mungkin berdepan hukuman lanjut selepas FA sedia melakukan siasatan terhadap kenyataan beliau yang menggesa supaya Taylor tidak diberikan tugas mengendalikan perlawanan melibatkan Chelsea lagi.
– AGENSI