fbpx

Ibu guna air rebusan nasi ganti susu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Umi Kalsum menguruskan keperluan Norjan yang mengalami Cerebral Palsy di rumah mereka di perkampungan nelayan Kuala Juru, dekat Butterworth kelmarin.

SEBERANG PERAI – Seorang ibu tunggal dari perkampungan nelayan Kuala Juru dekat sini tetap cekal menjalani kehidupan dengan menguruskan ibunya yang menghidap pelbagai penyakit kronik serta anak dan adiknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Umi Kalsum Ree, 60, berkata, kehidupannya ketika ini sangat sukar apabila dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan berikutan terpaksa menumpukan sepenuh perhatian menjaga ibunya, Romlah Saad, 83, serta anak perem­puan, Norjan Ahmad, 37, dan adik bongsu, Ainul Nadiah Ree, 38, yang masing-masing menghidap Cerebral Palsy (CP).

“Kehidupan kami boleh diibaratkan seperti kais pagi makan pagi kerana saya tidak bekerja dan hanya bergantung dengan bantuan daripada pihak Zakat Pulau Pinang (ZPP) serta Jabatan

Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kediamannya di sini baru-baru ini.

Jelas ibu empat anak itu, meskipun mendapat bantuan daripada ZPP dan JKM pada setiap bulan, namun perbelanjaan yang diterima tidak mencukupi ekoran anak keduanya itu bergantung hidup dengan hanya meminum susu khas berharga hampir RM100 setin, selain menggunakan lampin pakai buang sepanjang masa.

“Norjan tidak dapat makan disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi dan hanya mampu minum susu, itupun melalui tiub. Malah, boleh dianggarkan dalam sebulan, (penggunaan) susu sahaja sudah 15 tin. Memang rasa terbeban.

“Pernah suatu ketika disebabkan susu sudah habis dan duit juga tiada, saya terpaksa menggunakan air rebusan nasi yang ditanak bagi menggantikan susu buat Norjan. Namun, Norjan menghadapi masalah cirit birit selepas meminum air rebusan itu.

“Ibu mana yang tidak sedih melihat keadaan anaknya, mujur adik saya, Ainul Nadiah tidak bergantung kepada susu dan boleh makan seperti biasa biarpun hanya nasi bubur,” katanya yang kematian suami akibat penyakit buah pinggang sejak 13 tahun lalu.

Umi Kalsum yang juga anak sulung dari lima beradik berkata, dalam kekalutan rutin hariannya menjaga ketiga-tiga insan tersayang itu, dia tetap bersyukur kerana ada jiran tetangga selain anak-anak serta adik beradik terdekat yang prihatin meringankan bebannya.

“Anak-anak dan adik beradik yang lain ada yang sudah berkahwin dan bekerja sekitar Butterworth, Perak, Kuala Lumpur dan Melaka. Jadi, adalah bantuan sedikit yang diperoleh, namun tidaklah banyak kerana mereka pun bukan dari golongan berada. Saya tidak mahu membebankan mereka. Kalau ada (rezeki) untuk kami, ada lah.

“Cumanya, saya berharap agar ada pihak sudi menghulurkan bantuan dari segi bekalan susu serta lampin pakai buang buat Norjan dan Ainul Nadiah kerana kedua-dua mereka adalah OKU terlantar dan tidak mampu menguruskan diri seperti kebanyakan orang normal yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, ujarnya lagi, keadaan kesihatan ibunya juga semakin merosot ekoran menghidap penyakit jantung, buah pinggang, kencing manis, darah tinggi dan lain-lain penyakit.

“Selain bergantung kepada ubatan hospital, saya juga ada membawa ibu menjalani rawatan alternatif seperti urutan tradi­sional bagi membolehkan saraf­nya berjalan lancar,” ujarnya lagi.

Sementara itu, orang ramai yang ingin meng­hulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank milik Umi Kalsum 1570-9124-6849 atau hubunginya di talian 011-2419 2748 (Umi Kalsum).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI