KES pukul dan buli dalam kalangan masyarakat dilihat semakin berleluasa, seolah-olah menjadi satu keutamaan untuk menyelesaikan sesuatu konflik atau perselisihan faham.
Baru-baru ini, akhbar melaporkan dua pekerja bengkel kimpalan ditahan selepas disyaki memukul seorang ustaz dan pelajar pusat tahfiz di Kuala Lipis, Pahang angkara tidak berpuas hati soal pembayaran yuran.
Selain itu, tujuh termasuk enam pelajar perempuan berusia lingkungan 13 hingga 16 tahun turut ditahan di Kota Kinabalu, Sabah selepas tular rakaman video seorang pelajar perempuan dibelasah di sebuah kawasan lapang.
Motif berhubung kejadian berkenaan masih belum diketahui, namun penyelesaian menggunakan ‘buku lima’ turut menjadi pilihan individu berkenaan.
Menerusi statistik oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit di Amerika Syarikat, kes pembunuhan akibat keganasan serta kekerasan fizikal berada di tangga ketiga dan kelima sebagai punca utama bagi individu berusia satu hingga 44 tahun.
Sementara itu, Bukit Aman turut mengeluarkan statistik yang menunjukkan sebanyak 38 kes buli dilaporkan berlaku di sekolah-sekolah di negara ini dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini bermula Januari lalu.
Daripada jumlah itu, lapan kes dilaporkan di Pahang, manakala tujuh kes di Terengganu. Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan pula masing-masing merekodkan empat kes.
Selebihnya adalah Selangor (tiga), Johor (dua), Kedah (dua), Kuala Lumpur (dua) dan Perlis sebanyak dua kes.
Ini jelas menunjukkan masalah keganasan fizikal di negara ini berada di ambang yang membimbangkan, sekali gus memberi petanda kepada kegagalan dalam kehidupan bermasyarakat.
Sementara itu, kesan akibat penderaan fizikal terhadap seseorang individu pula antaranya adalah masalah emosi, kesukaran untuk memahami perasaan orang lain serta wujud nilai agresif dan panas baran.
Isu ini juga boleh menyebabkan mangsa menjadi lemah dalam hubungan sesama sendiri, akademik dan juga pekerjaan.
Lebih menyedihkan, ia juga boleh menyebabkan wujud gangsterisme dalam kalangan masyarakat khususnya individu yang lebih muda.
Mengulas berhubung isu ini, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Seri Ayub Yaakob berkata, keganasan fizikal serta gangsterisme kebiasaannya bermula dalam kalangan remaja.
“Ia bermula dengan kegiatan buli serta memeras duit sehingga wujud faktor luar yang boleh menyebabkan seseorang atau sekumpulan pelajar itu terdedah kepada gangsterisme.
“Meskipun masalah tidak aktif dan seteruk dahulu, ia sebenarnya masih wujud di sekolah,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, hal ini boleh menjadi barah dalam masyarakat apabila wujud faktor khususnya anasir luar seperti kumpulan gangster berstruktur yang mempunyai tanda/sign kumpulan haram, secret society kongsi gelap dan sebagainya.
Jelasnya, terdapat sesetengah kumpulan gangster yang mengambil kesempatan untuk merekrut pelajar sekolah sebagai ahli kumpulan.
“Justeru, usaha pembendungan perlu dilaksanakan di setiap sekolah seperti kempen kesedaran untuk memberi pengetahuan kepada pelajar sekolah.
“Selain itu, sekolah-sekolah juga perlu bekerjasama dengan polis untuk memberi informasi berhubung kumpulan yang terlibat bagi mengelak ia menjadi masalah besar,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE