PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengesyorkan agar laluan di tepi Mara Digital Mall di Menara Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur (KL) ditutup pada hujung minggu bagi merancakkan kembali pusat digital itu.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, beliau mahu Mara Corporation Sdn. Bhd. berbincang dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi merealisasikan perkara itu.
Beliau berkata, jika ia dapat dilaksanakan, pelbagai program dapat dianjurkan bagi menarik anak muda dan pengunjung selain merancakkan kembali operasi Mara Digital Mall.
“Saya juga akan berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim bagi melihat syor itu,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2022 Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini hari ini.
Katanya, pihaknya komited memastikan pusat digital itu dapat beroperasi lebih baik pada masa akan datang menerusi suntikan dana tertentu.
Mahdzir berkata, beliau difahamkan ada dua syarikat baharu akan memulakan operasi di Mara Digital Mall itu selain merancang pelbagai program untuk menarik pembabitan anak muda.
Menurutnya, Mara Digital Mall adalah cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika bergelar Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum ini.
“Kami menyambut hasrat Perdana Menteri yang mahu pusat beli belah itu dimeriahkan semula dengan membabitkan anak muda serta Bumiputera khususnya yang mahir dalam bidang membaiki komputer dan telefon bimbit,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri mengarahkan Mara supaya meneruskan projek Mara Digital bagi membuka peluang kepada anak muda Bumiputera membabitkan diri sebagai usahawan teknologi maklumat (IT).
Menurutnya, setelah Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018, Mara Digital telah ditutup dan projek baharu tidak diteruskan
“Mara Digital sangat dekat di hati saya. Saya yang wujudkan bagi membangunkan usahawan Bumiputera dalam bidang IT dan gajet sama ada menjual produk, membaiki (peralatan rosak) dan lain-lain,” katanya. – KOSMO! ONLINE