IPOH – Pembaikan serta pemulihan Kompleks Sejarah Pasir Salak dijangka menelan belanja yang tinggi ekoran kerosakan bangunan bersejarah tersebut terlalu banyak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, meskipun belum menerima jumlah sebenar kos membaiki serta memulihkan kompleks tersebut pihaknya mengakui ia memerlukan belanja yang tinggi.
Menurut Saarani, usaha membaiki serta memulih kompleks tersebut sudah dibangkitkan di dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Perak sebelum ini di mana Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi diberi tanggungjawab untuk melihat pekara itu.
“Kita belum dapat kos sebenar tapi kita sedia maklum kos agak tinggi dia melibatkan pemuliharaan kepada bangunan yang sudah terbiar dan ada banyak kayu yang telah reput.
“Kita akan tengok kos sekiranya kerajaan negeri mampu kita akan gunakan wang kerajaan negeri dan kalau tidak mampu kita kena mohon bantuan daripada kerajaan pusat,” katanya selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2022, di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Saarani turut menawarkan kepada mana-mana syarikat swasta yang berminat untuk untuk menguruskan kompleks sejarah yang terletak di Kampung Gajah itu agar mengemukakan permohonan kertas cadangan (RFP) kepada kerajaan negeri bagi dipertimbangkan.
“Kalau ada mana-mana pihak swasta ingin menguruskannya dia boleh datang ke kerajaan negeri untuk bagi kertas cadangan sebab yang penting bukan sahaja memulihara tetapi juga penyelenggaraanya.
“Kita (kerajaan negeri) mungkin ada duit nak memulihkannya tetapi nak pastikan ia diselenggara setiap hari memerlukan operator,” katanya. – KOSMO! ONLINE