IPOH – Kedudukan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang bakal ditandingi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) berstatus quo buat masa ini.
Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, keputusan siapa calon dan parti komponen mana yang bertanding setiap kerusi DUN di negeri ini pada PRU-15 akan ditentukan oleh pucuk pimpinan BN Pusat.
“Setakat ini kita status quo kecuali jika ada perbincangan dan keputusan yang diputuskan oleh BN Pusat.
“Setakat ini di peringkat negeri berstatus quo seperti mana sebelum ini (PRU-14),” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Kerajaan Negeri Perak 2022 di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Saarani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran agar pucuk pimpinan BN memperuntukkan sekurang-kurangnya satu kerusi DUN dengan peratus kemenangan tinggi untuk parti itu pada PRU15.
Menurut Vigneswaran, ia bertujuan membolehkan wakil masyarakat India itu dilantik sebagai exco kerajaan negeri, seterusnya membantu masalah kaum berkenaan.
Mengulas lanjut Saarani berkata, mana-mana parti komponen BN yang bertanding di DUN Perak pada PRU akan datang mereka perlu memastikan kemenangan kepada BN. – KOSMO! ONLINE