Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
DUNGUN – Kakitangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) yang menghantar anak di sebuah taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Bukit Besi dekat sini dibenarkan bekerja dari rumah selama 14 hari bermula semalam.
Pengerusi Ketengah, Datuk Razali Idris berkata, kebenaran khas itu diberikan bagi membolehkan individu terlibat menjalani kuarantin diri selepas seorang pembantu di tabika itu disahkan positif Covid-19 pada kelmarin.
“Kebenaran bekerja dari rumah itu juga diberikan kepada kakitangan Ketengah yang mempunyai kontak rapat dengan kakitangan Kemas (Jabatan Kemajuan Masyarakat) Terengganu berkenaan.
“Ia membolehkan mereka yang terlibat melakukan kuarantin diri selama 14 hari bermula 30 September lalu (semalam),” katanya menerusi hantaran terbaharu di akaun Facebook peribadinya hari ini.
Jelas Razali, kakitangan Ketengah terlibat perlu membuat permohonan rasmi bekerja dari rumah kepada pengurusan agensi tersebut bagi kelulusan segera.
Beliau juga berharap pandemik Covid-19 yang mula dikesan melibatkan satu kes itu tidak menular di wilayah seliaan Ketengah khususnya Bandar Al-Muktafi Billah Shah.
Terdahulu, Jabatan Kesihatan Terengganu mengesahkan seorang kakitangan Kemas negeri yang baru pulang dari Sabah pada 21 September lalu disahkan menghidap Covid-19.
Susulan itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Azimi Yunos mengarahkan tabika itu ditutup untuk proses sanitasi selain 20 kanak-kanak yang dihantar ke premis tersebut perlu menjalani ujian saringan Covid-19. – K! ONLINE