PASIR PUTEH – Daerah Pasir Mas dan Bachok dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan untuk membuang kucing oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.
Pemilik Veterinar Centre Kota Bharu (KBVC), Dr. Che Azila Che Omar berkata, dapatan itu diperoleh hasil kajian yang dijalankan oleh pihaknya baru-baru ini.
Menurutnya, hasil tinjauan yang dijalankan, terdapat hampir 100 ekor kucing telah dibuang di Pasar Tasek Raja, Pasir Mas dan Pantai Irama, Bachok.
“Bagaimanapun, di kawasan pasar di daerah-daerah lain di negeri ini pihak kami mendapati terdapat kira-kira 40 ekor kucing jalanan.
“Kebanyakan masyarakat memilih dua lokasi itu untuk membuang kucing di tempat awam kerana beranggapan haiwan tersebut mampu berdikari untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan mendapatkan sisa-sisa makanan terbuang,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada Program Selamatkan Kucing Jalanan di Bandar Tok Janggut, di sini semalam.
Menurut Che Azila, kebiasaannya kucing-kucing itu akan mengharapkan ihsan orang ramai yang bermurah hati memberi makanan.
Bagaimanapun katanya, haiwan tersebut terdedah kepada pelbagai penyakit kerana kebanyakannya tidak mempunyai suntikan vaksin.
“Oleh itu, pihak kami menjalankan kempen menyelamatkan kucing jalanan dari penyakit dengan mengalakkan orang ramai yang membawa kucing jalanan untuk suntikan vaksin percuma. Individu yang membawa kucing juga akan mendapat tiga kilogram makanan kucing,” katanya.