ANKARA, TURKI – Gara-gara cemburu, seorang lelaki menarik teman wanitanya dan terjun bersama-sama dari sebuah tebing sebelum mereka disahkan meninggal dunia, lapor akhbar Daily Star kelmarin.
Pada hari kejadian 6 Ogos lalu, Selcuk Cetiner, 41 dan teman wanitanya Mehlika Derici, 35, dilaporkan menyambut hari lahir rakan mereka di sebuah restoran di Turki.
Pasangan kekasih itu kemudian pergi ke sebuah lokasi popular, Asiklar Tepesi yang juga adikenali sebagai Bukit Kekasih. Selcuk dan Mehlika turut disertai oleh rakan mereka, Merve dan kekasihnya, Arda Tolunay.
Bagaimanapun, suasana romantik malam itu bertukar tragedi apabila Selcuk dan Mehlika bertengkar disebabkan oleh perasaan cemburu.
Menurut Merve dan Arda, Selcuk menolak Mehlika sehingga terjatuh di atas tanah sebelum dia dibantu untuk bangun.
Lelaki itu kemudian menjerit: “Jika mahu mati, kita mati bersama.”
Belum sempat Mehlika bertindak balas, Selcuk merangkul pinggang kekasihnya itu dan melompat dari tepi tebing bersama-sama. Kedua-dua mereka mati selepas terjatuh dari ketinggian 25 meter.
Anggota paramedik bergegas ke lokasi kejadian, namun gagal menyelamatkan Selcuk dan Mehlika.
Mayat pasangan kekasih itu dibawa ke Hospital Awam Marmara Ereglisi, sementara polis merampas telefon bimbit mereka untuk siasatan lanjut. – Agensi