JAKARTA – Sebuah klip video tular di media sosial Indonesia memaparkan reaksi lucu empat orang gadis yang ‘makan hati’ melihat nenek mereka berkahwin walhal mereka masih belum bertemu jodoh, lapor portal berita Wolipop kelmarin.
Berdasarkan video yang dikongsikan di laman TikTok itu, pasangan pengantin tersebut dilihat baru selesai menjalani upacara akad nikah di sebuah dewan.
Video itu kemudian dihalakan ke arah empat gadis yang merupakan cucu kepada pengantin perempuan yang masih bujang.
“Ketika nenek berkahwin lagi, cucu-cucunya masih bujang dan belum berpunya. Memang sedih,” demikian menurut keterangan pada hantaran tersebut.
Video tersebut menjadi tular dengan pelbagai reaksi diberikan netizen.
“Nenek bernikah dahulu sebelum cucu. Sabar ya cucu,” kata seorang pengguna media sosial.
Wolipop kemudian menghubungi pemilik akaun TikTok @nyonyadestira bagi bertanyakan mengenai video yang dimuat naik tersebut.
Menurut pemiliknya, Tya, warga emas tersebut merupakan nenek saudaranya yang berusia 66 tahun.
“Nenek Elly ialah adik kepada nenek saya, manakala empat gadis dalam video itu merupakan cucu-cucunya,” katanya.
Tambah Tya, Nenek Elly ialah seseorang yang mudah didekati dan gemar bergaya.
“Kami gembira melihat dia berkahwin kerana telah lama hidup bersendirian selepas suaminya meninggal dunia,” ujarnya.
Acara pernikahan tersebut berlangsung pada 31 Julai lalu di Bogor Timur, wilayah Jawa Barat. – Agensi