fbpx

Suami sedar perubahan sikap isteri sebelum Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan penyelamat memberikan bantuan awal kepada wanita yang terjatuh dari tingkat 19 sebuah apartmen di Bayan Lepas, George Town pada Jumaat minggu lalu.

GEORGE TOWN – Seorang wa­nita yang parah selepas terjatuh dari tingkat 19 sebuah apartmen sambil mendakap al-Quran pada minggu lalu didakwa berubah sikap termasuk gemar menyendiri sejak Mac lalu.

Suami mangsa yang mahu dikenali sebagai Shah berkata, dia menyedari perubahan sikap isterinya yang juga ibu kepada dua anak menjelang Ramadan tahun ini.

Menurut lelaki itu, isterinya yang berusia dalam lingkungan 30-an memilih untuk mengenakan purdah, sentiasa berzikir serta bangun pada waktu tengah malam untuk menunaikan solat sunat tahajud.

Wanita itu dikatakan mendalami ilmu agama menerusi media sosial seperti TikTok dan YouTube tanpa berguru dengan mana-mana pihak yang arif.

“Perubahan sikapnya dilihat sebulan sebelum umat Islam menyambut Ramadan selepas dia mengambil keputusan berhenti kerja di sebuah kilang di Bayan Baru.

Berita berkaitan: Wanita terjatuh apartmen sambil dakap al-Quran

“Setiap kali saya pulang dari tempat kerja, dia (isteri) seperti sedang berzikir sambil tangannya memegang telefon bimbit. Dia juga kerap berdamping de­ngan al-Quran,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Shah memberitahu, sebelum ini dia ada beberapa kali membawa isterinya mendapatkan rawatan perubatan Islam.

“Saya reda dan sabar dengan apa yang berlaku (perubahan sikap). Selain itu, isteri juga pandai menyimpan wang dan sebahagian wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang dikeluarkan pada tahun ini diagihkan kepada beberapa maahad tahfiz dan mad­rasah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shah memberitahu, isterinya yang mengalami kecederaan patah di beberapa anggota badan menjalani pembedahan pada tulang belakang di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Kosmo! Ahad lalu melaporkan nyawa seorang wanita masih panjang apabila dia terselamat selepas terjatuh dari tingkat 19 sebuah apartmen di Bayan Lepas.

Sehari sebelum kejadian itu, wanita tersebut dikatakan ada memuat naik hantaran ‘selamat tinggal dunia’ di aplikasi TikTok milik­nya.

Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari itu, mangsa ditemui dalam keadaan mengiring dan masih sedarkan diri di tingkat empat berdekatan tempat meletak kenderaan apartmen tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI