NEWCASTLE – Penjaga gol Newcastle United, Nick Pope berpeluang cerah untuk merampas posisi sebagai penjaga gawang utama England pada aksi Piala Dunia 2022 sekiranya mampu meneruskan persembahan cemerlang.
Ketika ini, Pope masih belum bolos dalam dua perlawanan berbanding Jordan Pickford yang berdepan dua kekalahan bersama Everton ketika dia mempamerkan aksi cemerlang ketika terikat tanpa jaringan menentang Brighton kelmarin.
Persembahan cemerlang itu menyebabkan para peminat bersorak dan menyebut Pope adalah calon layak untuk mengisi posisi penjaga gol utama skuad The Three Lions itu di Qatar nanti.
Pengurus Newcastle, Eddie Howe menggesa supaya pemainnya itu terus fokus dan konsisten dengan aksi terbaik itu bagi membantu pasukan selain mencerahkan laluan kariernya bersama England.
“Bagi saya, Nick adalah penjaga gol kelas pertama. Saya sentiasa memberikan dorongan kepada semua pemain untuk mereka memasang impian yang tinggi termasuklah Nick.
“Saya percaya, Gareth Southgate (jurulatih England) mengenali Nick dengan baik kerana dia telah memberikan persembahan terbaik sebelum ini bersama England. Apa yang perlu dilakukan adalah terus membuatkan orang mengaguminya,” katanya.
England akan turun menentang Iran pada aksi pertama Piala Dunia nanti dan posisi penjaga ketika ini masih menjadi rebutan antara Pope dan Pickford ketika kedua-dua mereka lebih menonjol berbanding Aaron Ramsdale dan Dean Henderson. – AGENSI