LIMBANG – Seorang pemandu wanita ditemui dalam keadaan menyayat hati selepas rentung dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Jalan Nanga Medamit dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi, mangsa, Doris Serudin yang memandu kereta jenis Proton Saga meninggal dunia di lokasi kejadian sementara pemandu kenderaan pikap jenis Toyota Hilux cedera.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang bersama beberapa jentera telah dikerah ke lokasi kejadian.
“Kemalangan dipercayai berlaku selepas kedua-dua kenderaan telah berlanggar menyebabkan kereta Proton Saga telah terbakar manakala kenderaan pikap Toyota Hilux terbabas di tepi jalan.
“Kebakaran tersebut menyebabkan pemandu wanita yang memandu Proton Saga rentung manakala pemandu Toyota Hilux cedera dan dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.44 pagi dan mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE