KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menahan seorang remaja selepas didapati menunggang sebuah motosikal yang belum didaftarkan dengan jabatan tersebut dalam Ops Lejang di Jalan Kota Bharu-Bachok di sini kelmarin.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, motosikal jenis Honda RS-X itu ditunggang oleh remaja lelaki berusia 16 tahun semasa operasi dijalankan.
Katanya, remaja terbabit dikenakan saman kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita turut menyita motosikal tersebut bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Misuari berkata, sebanyak 135 notis saman dikeluarkan kepada penunggang dan pemilik motosikal atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, beberapa kesalahan dilakukan penunggang motosikal antaranya ubah suai kelajuan, tidak mempamerkan pelekat P, tiada cermin sisi dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
“Selain itu, kesalahan paling banyak dikesan adalah tiada lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh.
“Sebanyak tujuh buah kenderaan disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE