fbpx

PRU-15 bukan tempat ‘katak melompat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
RIDZAUDDIN ROSLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

JIKA diimbas kembali, landskap politik Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bukanlah satu corak kepimpinan yang boleh dianggap stabil dan kukuh, situasinya agak rapuh, persis telur dihujung tanduk.

Manakan tidak, dalam tempoh itu sahaja sebanyak tiga Perdana Menteri silih berganti, malah 39 Ahli Parlimen turut lompat parti sekali gus memberi terjemahan bahawa amalan demokrasi Malaysia berada pada tahap membimbangkan.

Selain hilang kepercayaan kepada pemimpin terlibat, tindakan itu turut menyebabkan rakyat ‘mual’ kepada parti terlibat ekoran sering meletakkan calon tidak berprinsip seterus­nya mungkin mempengaruhi undi pada PRU-15 nanti.

Bagaimanapun, Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) berkaitan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang diluluskan 209 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat baru-baru ini dilihat memberi dimensi baharu kepada corak politik negara.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, akta yang bakal diwartakan kelak itu melegakan rakyat berikutan mampu mengelakkan berlakunya ketidakstabilan dalam landskap politik negara.

“Bagi saya, setiap calon PRU-15 akan lebih berhati-hati kerana akta tersebut membolehkan perjuangan yang akan dibawa mereka mestilah selari dengan prinsip parti dan ia mengurangkan budaya ‘lompat katak’.

“Dengan akta itu juga, calon juga tidak boleh bertukar sebagai ahli politik Bebas kerana me­rugikan lantaran undang-undang baharu itu menetapkan mereka tidak boleh menyertai mana-mana parti buat selamanya jika melompat,” katanya kepada Kos­mo! di sini baru-baru ini.

Selain itu, jelas Ahmad Marthada, pelaksanaan akta baharu itu yang disifatkan sebagai antara elemen penting dalam sistem perundangan negara juga bakal mengurangkan isu politik wang yang menjadi antara barah dalam sistem pentadbiran negara sebelum ini.

Menurutnya, isu pembelian wakil rakyat dapat dikurangkan pada PRU-15 dan memboleh­kan parti terlibat menampilkan calon-calon berprinsip untuk menawan hati rakyat.

“Secara keseluruhan, akta baharu itu bakal memberikan keuntungan kepada pengundi seterusnya dapat mewujudkan sebuah kerajaan lebih stabil berbanding apa yang berlaku sebelum ini.

“Jika kita lihat, ekoran budaya lompat parti, ada beberapa kerajaan tidak mampu bertahan lama seperti di Sabah di mana sistem pentadbiran negeri itu runtuh dan perlu meraih semula soko­ngan rakyat,” ujarnya.

Menurutnya, ketidakstabilan politik bukan sahaja memberi kesan negatif kepada sistem pentadbiran negara, malah turut memberi impak ekonomi de­ngan mengurangkan kemasukan pelabur asing ke Malaysia.

“Isu tersebut sangat berkait, jadi bila ada akta baharu itu, ia mengawal ahli politik daripada berbuat sesuatu perkara sesuka hati seperti memperjudikan kepercayaan rakyat.

“Pada masa sama, kepenti­ngan agenda peribadi juga dapat dikurangkan dan calon hanya memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat seperti dilaungkan mereka menerusi ma­nifesto bakal dilancarkan kelak,” katanya.

Kesimpulannya, rakyat mahukan sesuatu yang segar kali ini dan akan menolak calon-calon ‘klasik’ yang sudah mencalarkan kepercayaan dengan melompat parti. Ini undi rakyat, biar mereka memilih siapa terbaik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI