TAPAH – Naluri seorang anak yang berasa tidak sedap hati selepas ibunya lambat mengambilnya untuk dihantar ke sekolah rupa-rupanya membawa khabar duka apabila wanita itu maut dalam kemalangan di Kilometer 57, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi di atas jambatan Sungai Batang Padang, mangsa, Shahriza Ishak, 39, maut akibat kecederaan parah di kepala selepas diseret sebuah treler sejauh 10 meter.
Menurut suami Shahriza, Abd. Aziz Ahmad, 52, kebimbangan itu disuarakan anaknya, Nur Shazwani, 17, ketika menghubunginya yang sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Menengah Sains Tapah.
Katanya, dia cuba menenteramkan anak kedua daripada empat beradik itu dengan mengatakan ibunya mungkin mempunyai urusan lain menyebabkan lambat sampai ke rumah.
“Tidak lama kemudian, Nur Shazwani hubungi saya semula beritahu yang isteri kemalangan. Ketika itu, kami masih lagi tidak tahu keadaan sebenar isteri.
“Saya segera pulang ke rumah untuk mengambil Nur Shazwani dan pergi ke lokasi nahas. Ketika sampai, saya lihat jasad isteri terbaring dengan keadaan ditutup plastik di atas jalan.
“Lemah lutut saya hingga terduduk apabila melihat keadaan isteri dengan kepala berkecai. Rasa sebak tidak boleh digambarkan dan anak pun menangis melihat ibunya,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tapah di sini hari ini.
Menurut Abd. Aziz, kejadian berlaku ketika isterinya dalam perjalanan balik ke rumah untuk mengambil Nur Shazwani selepas menghantar dua anak mereka ke sekolah. – KOSMO! ONLINE