IPOH – Kawasan batu granit porfiritik di Gunung Bujang Melaka, Kampar yang gambarnya tular dalam media sosial baru-baru ini disahkan milik persendirian dan lokasi itu tidak dibuka kepada umum.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, berikutan gambar lokasi batu granit itu tular dalam media sosial baru-baru ini, pemilik tanah di situ terpaksa menutup tempat tersebut kepada orang awam atas faktor keselamatan.
“Jika berlaku apa-apa, ia adalah tanggungjawab pemilik kerana lokasi batu granit itu berada di atas tanah persendirian.
“Tempat ini belum dibuka kepada umum, bersabar dahulu kerana ia masih dalam proses permulaan rundingan dan bahaya jika pergi ke tempat itu tanpa menitikberatkan faktor keselamatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan penutup Kursus Asas dan Lanjutan Geoguide GeoPark Lembah Kinta di sini.
Menurutnya, kerajaan negeri sedia mengkaji kawasan batu granit di Kampar itu sebagai satu lagi geotapak di Perak, malah pihak berkuasa tempatan dan pejabat tanah telah menghubungi pemilik tanah tersebut.
“Kerajaan negeri akan meminta Taman Negeri bersama Jabatan Mineral dan Galian (JMG) untuk melakukan tinjauan awal di lokasi batu granit yang gambarnya tular dalam media sosial baru-baru ini. Jika betul, kita boleh angkat sebagai geotapak yang baharu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, keputusan akhir adalah tertakluk kepada kesanggupan pemilik tanah di kawasan itu untuk membangunkan ia sebagai geotapak. – KOSMO! ONLINE