JERANTUT – Keindahan Taman Warisan Bukit Istana yang popular sebagai kawasan riadah sekitar tahun 1990-an kini terbiar dan dipenuhi semak samun.
Tinjauan Kosmo! mendapati, trek joging dipenuhi semak dan daun kering yang boleh menjadi tempat pembiakan binatang berbisa seperti ular dan sebagainya.
Kawasan bertangga juga berlumut, manakala pondok rehat yang ada di kawasan itu juga sudah rosak.
Selain itu, label nama-nama pokok hutan sepanjang trek berkenaan juga jatuh tanah.
Seorang penduduk, Ahmad Abdullah, 64, berkata, sebelum ini dia memang kerap ke situ pada waktu petang untuk beriadah sejak taman itu dibuka 30 tahun lalu.
Katanya, dia amat kecewa apabila taman berkenaan dibiarkan tanpa penjagaan sehingga segala kemudahan yang boleh dimanfaatkan pengunjung rosak.
“Jika taman ini masih tidak diuruskan dengan baik, kami dalam kalangan warga emas terpaksa beriadah di tempat lain kerana tidak mahu mengambil risiko berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Saya sendiri pernah terserempak dengan ular tedung besar ketika melalui trek simen di bawah pokok di taman ini.
“Selepas kejadian tersebut saya tidak lagi berani mengunjungi taman ini,” katanya.
Seorang penggemar aktiviti riadah, Salman Anuar, 37, berkata, ketika masih bersekolah, dia dan rakan-rakannya kerap mendaki Bukit Istana melalui trek Taman Warisan yang suasananya sungguh mendamaikan di bawah teduhan pokok hutan.
Justeru, beliau berharap agar pihak berkuasa segera melakukan sesuatu bagi membaik pulih semula taman berkenaan yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai termasuk generasi muda melakukan aktiviti menyihatkan di kawasan itu.
“Saya dan rakan-rakan sebelum ini kerap berjalan kaki di trek yang disediakan hampir 1 kilometer naik turun di kawasan berbukit di sini.
“Hari ini, suasana landskap taman jauh berubah apabila keadaan tidak terurus, kebanyakan tempat kotor, selain trek simen dipenuhi lumut serta licin,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Jeremy Lim, 45, berkata, dia kini hanya menggunakan jalan bertar ke pusat telekomunikasi (pencawang) yang dipasang di Bukit Istana untuk beriadah.
Ini kerana katanya, trek asal di taman itu dipenuhi semak samun dan daun kering, dikhuatiri menjadi tempat haiwan berbisa.
“Sesuai dengan bandar Jerantut dipilih sebagai Project Showcase Healthy City, sudah sewajarnya Taman Warisan Bukit Istana diberi nafas baharu.
“Ini bagi membolehkannya menjadi tumpuan pengunjung dan pelancong luar,” katanya.