KANGAR – Seorang warga emas merayu sumbangan bagi menampung keperluan bulanan membeli ubat dan makanan tambahan selepas tidak mampu bekerja kerana menghidap penyakit kanser paru-paru tahap empat sejak September tahun lalu.
Menurut Khoo Swee That, 65, dia kini terlantar dan tidak mampu meneruskan kerja sebagai buruh berikutan badannya lemah.
Isterinya, Wong Saw Nga, 63, juga tidak bekerja kerana perlu menguruskan suami setiap hari.
“Sebelum ini saya melakukan kerja sampingan sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), namun terpaksa berhenti selepas kesihatan makin merosot,” katanya.
Cerita bapa dua anak itu, ketika ini dia bergantung dengan duit simpanannya bagi menampung perbelanjaan meliputi sewa rumah, bil utiliti, pengangkutan ke hospital lebih RM1,000 sebulan.
Namun begitu ujarnya, wang simpanan tersebut semakin susut dan membimbangkannya.
“Seorang anak saya menetap bersama kami manakala seorang lagi berada di Kuala Lumpur. Pendapatan mereka juga hanya sekitar RM1,000 sebulan.
“Sebelum ini mereka membantu perbelanjaan bulanan kami, namun sejak kebelakangan ini mereka tidak lagi berbuat demikian disebabkan tidak cukup wang perbelanjaan,” jelasnya.
Ujar Swee That, dia juga perlu berulang-alik ke hospital di Alor Setar setiap bulan bagi menjalani rawatan kemoterapi.
“Sekarang saya terpaksa berjimat cermat memandangkan wang simpanan semakin susut, malah menghentikan sementara pembelian makanan tambahan,” katanya.
Mana-mana pihak yang ingin membantu boleh menghubungi Swee That di talian 017-523 4817 atau menerusi akaun bank CIMB bernombor 570922026245 atas nama Khoo Swee That.