SENARIO kekangan yang dilalui penyanyi tanah air untuk beraksi di Indonesia sementelah situasi sebaliknya berlaku kepada rakan-rakan seperjuangan dari seberang sudah lama berpeluang merencana karier mereka di sini berlanjutan sejak sekian lama.
Tidak berkesudahan, isu berkenaan juga terus disuarakan dari masa ke masa, namun tiada tindakan agresif berlaku bagi meruntuhkan tembok yang menghalang.
Terpanggil menyuarakan hal sama, Ezad Lazim yang juga vokalis Exists tidak menuding jari kepada sesiapa, sebaliknya berharap masalah berkenaan dapat disepakati secara muafakat agar peminat muzik di kedua-dua negara dapat menikmati hiburan tanpa sekatan.
“Sejujurnya saya dan Exists juga menunggu peluang mengadakan konsert bergerak di Indonesia tetapi masih belum kesampaian walaupun ramai yang DM (mesej langsung) terutama selepas beberapa buah lagu kami viral dalam TikTok.
“Bukan Exists tak pernah buat ‘show’ atau konsert di sana, cuma kami belum berpeluang adakan jelajah di kota-kota kecil. Selepas pintu sempadan dibuka, saya sangka keadaan boleh berubah melihat kerancakan industri seni.
“Artis kita yang lain pun susah dapat peluang sama. Memang ada penyanyi kita diberikan ruang, cuma boleh kira dengan jari. Saya pun tak faham kenapa begitu. Kalau artis sana datang buat persembahan di sini, senang saja tapi kalau kita pula bermacam prosedur atau ‘redtape’ perlu dilalui.
“Besar harapan kami keadaan ini dapat diubah agar dapat membawa manfaat kepada semua pejuang seni apatah lagi isu ini sudah lama disuarakan,” katanya selepas majlis pelancaran lagu duetnya, Meski bersama penyanyi Singapura, Nana Karia.
Pemilik nama penuh Mohd. Rohaizad Mohd. Lazim, 42, itu juga mengakui banyak tawaran singgah selepas lagunya bersama Exists, Mengintai Dari Tirai Kamar menjadi fenomena apabila dinyanyikan YouTuber Indonesia hingga mencecah 135 juta tontonan.
Pelbagai pelawaan termasuk rakaman semula versi baharu, duet dengan penyanyi Indonesia atau artis baharu selain dibawa ke layar perak tetapi semua itu belum menampakkan tanda direalisasikan dalam waktu terdekat.
Tetapi ada antara pelawaan tersebut dalam peringkat perbincangan, namun masih perlu diperhalusi sebaik mungkin.
“Ketika lagu ciptaan Saari Amri yang diubah judul kepada Buih Jadi Permaidani untuk pasaran Indonesia tular selepas dibawakan Nabila Maharani dan Zinidin Zidan, memang banyak tawaran muncul.
“Ada beberapa pihak nampak serius, tak kurang juga yang terus senyap. Apa pun saya percaya kalau ada rezeki, tak ke mana. Buat masa sekarang saya dahulukan projek yang datang macam single duet dengan Nana.
“Nana belum dikenali di Malaysia, tetapi dia sudah punya nama besar di Singapura. Kami pernah berkongsi pentas sebelum ini, cuma belum mengenalinya sewaktu terbabit menerusi sebuah persembahan sama beberapa tahun lalu.
“Saya anggap projek ini suatu rezeki, ramai penyanyi mahu jalin kerjasama. Sebelum ini, saya pernah berduet dengan artis Indonesia, Iva Virginia menerusi lagu Dua Insan,” katanya.
Versi berkenaan dirakam secara berasingan tahun lalu dan dicipta Jaybon Osman yang pernah bermain bes untuk kumpulan Teacher’s Pet, manakala lirik dihasilkan Nana atau nama sebenar, Nur Hasanah Zakaria.
Kata Ezad, lirik puitis bersandarkan kisah benar kehidupan Nana yang seakan-akan sama dengan dirinya membenihkan rasa teruja.
“Menurut Nana, lirik umpama wasiat ditinggalkan buat insan tercinta andai nyawa dicabut Tuhan. Memang luahannya hampir sama dengan saya yang berdepan getir kehidupan.
“Dia berusaha mendapatkan cahaya mata melalui rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) sebanyak dua kali dan nadinya pernah berhenti berdenyut selama 10 saat ketika proses kedua prosedur berkenaan.
“Saya pula pernah dibedah beberapa kali hingga terfikir jika umur tidak panjang, apa akan jadi kepada isteri dan anak-anak. Lagu ini cukup dekat dengan situasi yang pernah saya lalui,” katanya.
Pada masa sama, Ezad tetap akan meneruskan penghasilan single baharu solo sebagai kesinambungan kerjaya seni, sekali gus mahu kekal relevan.
“Lagu baharu tanda kita mahu terus relevan. Sejak bergerak solo, ada single atau lagu duet saya yang tidak menjadi dan kurang sambutan. Tetapi itu bukan penamat langkah.
“Semua ini bergantung kepada rezeki. Jika meledak contohnya seperti Demi Cinta, itu bonus. Ada juga beberapa single sebelum ini kurang menjadi, saya tidak akan berputus asa,” ulasnya.