fbpx

Tiga sekawan kaki curi kenderaan, pecah rumah ibadat dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek menunjukkan MPV jenis Toyota Unser yang disimpan di kawasan letak kenderaan di Sri Muda, Shah Alam.

KLANG – Kegiatan tiga sekawan melakukan jenayah curi kenderaan dan pecah rumah ibadat sejak awal tahun ini tumpas selepas mereka dicekup dalam tempoh lima jam dalam serbuan berasingan di daerah ini kelmarin.

Kesemua suspek berusia 26 hingga 33 tahun ditahan bermula pukul 4 petang di kawasan sekitar Bandar Bukit Tinggi dan Taman Sri Andalas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tangkapan pertama dilakukan selepas pasukan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan di Bandar Bukit Tinggi.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek mengakui mencuri sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser dan pecah rumah ibadat bersama dua lagi lelaki.

“Suspek kemudiannya membawa pihak polis ke lokasi persembunyian kenderaan tersebut di  kawasan meletakkan kenderaan di hadapan sebuah bank di Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam.

“Selain itu, suspek turut menunjukkan lokasi rumah ibadat di Taman Sri Andalas yang dalam keadaan berselerak setelah dipecah masuk oleh suspek dan dua rakannya menggunakan playar dan pemutar skru,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kata beliau, siasatan lanjut kemudiannya menahan dua rakan suspek di Taman Sri Andalas di antara pukul 9 malam hingga 9.30 malam selain turut merampas masing-masing sebuah ketuhar gelombang mikro, pembesar suara, kipas angin serta peralatan pecah rumah.

Tambah Shamsul Amar, hasil siasatan turut mendapat mereka menyasarkan lokasi sekitar Taman Sri Andalas dan Bukit Tinggi Klang dalam menjalankan aktiviti jenayah mereka.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI