PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) bakal memperkenalkan satu sistem pelaporan berpusat bagi merekod markah pentaksiran pelajar sekolah sekaligus meningkatkan kecekapan sistem kementerian tersebut.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pembangunan sistem pelaporan berpusat itu merupakan salah satu daripada pelbagai elemen transformasi pendidikan yang akan diperkenalkan KPM dalam masa terdekat.
“Ketika ini, seseorang guru itu perlu menyalurkan rekod markah pelajar kepada pelbagai pihak termasuk KPM serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan serupa juga dengan pembinaan jadual waktu sekolah yang masih ada dilakukan secara manual.
“Dengan adanya sistem pelaporan berpusat ini, pihak lain yang perlukan rekod markah tersebut boleh mendapatkannya menerusi sistem tersebut dan guru hanya perlu memasukkan subjek pelajaran, jumlah pelajar dan data-data berkaitan untuk membina jadual waktu sekolah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Showcase Transformasi Pendidikan di pusat beli belah Alamanda di sini semalam.
Program Showcase Transformasi Pendidikan merupakan salah satu aktiviti dirancang oleh KPM bagi mengisi slot ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’ yang merupakan usaha kolaboratif untuk menguar-uarkan kepada masyarakat tentang projek serta inisiatif transformasi pendidikan.
Program tersebut merupakan platform bagi memaparkan inovasi dan pencapaian murid serta guru, perkembangan pendidikan digital dan aplikasi sistem yang memudahkan pengurusan dalam pendidikan.
Menurut Radzi, KPM komited dalam usaha mentransformasikan sistem dan ekosistem pendidikan negara selain memfokuskan kepada kemenjadian murid secara menyeluruh tanpa berpandukan kepada pencapaian akademik semata-mata.
Jelas beliau, baru-baru ini pihaknya turut bekerjasama dengan FGV Holdings Berhad membawa pelajar mendekati flora dan fauna agar mereka dapat lebih memahami tentang perubahan iklim selain menerapkan sifat cintakan alam sekitar.
“Apa yang paling penting, dalam memastikan segala transformasi besar yang dilaksanakan dapat memberi impak dan hasil yang dihasratkan adalah amat kritikal untuk ibu bapa, masyarakat dan guru untuk bersama-sama memberi kepercayaan kepada KPM.
“Ia adalah supaya kita dapat membentuk satu sistem dan ekosistem pendidikan yang mampu melahirkan anak-anak yang hebat dan mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya. – KOSMO! ONLINE