fbpx

2022 catat rekod kebakaran di barat daya Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kebakaran hutan berhampiran Belin-Beliet di barat daya Perancis pada 11 Ogos lalu. - AFP

PARIS – Api yang memusnahkan puluhan ribu hektar hutan di Perancis, Sepanyol dan Portugal menjadikan 2022 sebagai tahun paling buruk untuk bencana kebakaran di Eropah, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Ketika gelombang haba berterusan, Perkhidmatan Pemantauan Atmosfera Copernicus (CAMS) menyatakan, Perancis mencatat tahap pencemaran karbon tertinggi akibat kebakaran hutan dalam tempoh tiga bulan lalu berbanding sejak bencana itu mula direkodkan pada  2003.

Sepanyol pula mencatatkan pelepasan karbon tertinggi bulan lepas. 

Menurut CAMS, jumlah kuasa radiatif harian iaitu kadar ukuran keamatan kebakaran di tiga negara itu pada Julai dan Ogos tahun ini adalah jauh lebih tinggi berbanding kadar purata.

Perkhidmatan itu memberi amaran bahawa sebahagian besar Eropah Barat berada dalam ‘bahaya kebakaran yang melam­pau’, manakala beberapa kawasan berdepan ‘bahaya kebakaran yang sangat melampau’.

“Kami melihat peningkatan dalam jumlah kebakaran dan pelepasan karbon akibat fenomena gelombang haba berlaku di barat daya Perancis dan Semenanjung Iberia.

“Kebakaran melampau diramalkan berlaku untuk kawasan yang luas di selatan Eropah. Ini menyebabkan skala keamatan kebakaran ditingkatkan,” kata saintis kanan CAMS, Mark Parrington.

CAMS mengeluarkan imej satelit menunjukkan kepulan asap di barat daya Perancis yang menjangkau ratusan kilometer ke rantau Atlantik.

Perancis menerima bantuan 361 anggota bomba dari Jerman, Poland, Austria dan Romania dalam memerangi kebakaran terbaharu di kawasan hutan seluas 40 kilometer yang memaksa kira-kira 10,000 orang berpindah. 

Di peringkat global pula, 2022 merupakan tahun keempat ter­tinggi dari segi pelepasan karbon akibat kebakaran, kata CAMS.  – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI