PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon popular Korea Selatan, Rain bakal hadir ke Malaysia pada 27 Ogos ini bersempena acara Betadia Night bertempat di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Tidak berseorangan, Rain atau nama sebenarnya, Jung Ji Hoon akan berkongsi pentas bersama dua bintang tempatan iaitu Andrew Tan dan Jess Lee.
Kali terakhir, Rain, 40, membuat penampilan di negara ini adalah lima tahun lalu.
Andrew adalah penyanyi Mandapop yang sudah lama menceburi bidang nyanyian sejak 2006 selepas memenangi pertandingan Astro Talent Quest di Malaysia dan TVB International Chinese New Talent Singing Championship di Hong Kong.
Pada 2010, dia mula meraih perhatian selepas lagunya, Tian Hou mula mendapat tempat di industri muzik Taiwan dan bermula di situ, dia terus mengembangkan bakatnya di bidang lakonan.
Jess Lee pula memulakan kariernya sebagai penyanyi selepas menjadi juara dalam pertandingan nyanyian televisyen popular One Million Star musim ketujuh dan berjaya mengumpulkan markah tertinggi dan memecah rekod pada pusingan akhir.
Kini, dia menetap di Taiwan bagi mengukuhkan lagi bakatnya.
Betadia Night adalah persembahan percuma yang membuka peluang kepada peminat menyertai peraduan untuk mendapatkan tiket dalam talian secara percuma.
Untuk mendapatkan tiket percuma bagi menyaksikan persembahan Rain, Andrew dan Jess Lee, peminat perlu mendaftar dalam talian. Untuk Maklumat lanjut dan cara mendaftar, ikuti laman Facebook Betadia Malaysia. – KOSMO! ONLINE