fbpx

Roti canai dijual 50 sen sejak 32 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MD. KAMIL menebar roti canai yang dijualnya pada harga 50 sen sekeping di Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh semalam. – TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Ketika ramai peniaga menaikkan harga jualan roti canai ekoran kenaikan kos bahan mentah, namun seorang peniaga di Kampung Padang Pak Amat di sini masih menjual hidangan popular itu pada harga 50 sen sekeping sejak 32 tahun lalu.

Md. Kamil Abdullah, 64, memilih untuk mengekalkan harga lama sama seperti tahun 90-an kerana tidak mahu membebankan pelanggannya.

Begitu pun katanya, bekas anggota tentera Kor Armor Diraja itu masih memperoleh keuntu­ngan walaupun sedikit.

“Setiap hari, saya mampu men­jual sebanyak 800 hingga 1,000 keping roti canai sehari dengan dibantu empat anak.

“Saya akui kenaikan kos bahan mentah adalah cabaran utama sebagai peniaga, namun ia bukan alasan untuk menaikkan harga makanan sesuka hati.

“Ini kerana, kebanyakan bahan mentah untuk menghasilkan roti canai masih ditampung subsidi oleh kerajaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.

Md. Kamil memberitahu, kebanyakan pelanggan terdiri daripada pengunjung Air Terjun Jeram Pasu, ibu bapa kepada pelajar Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, malah ramai yang menempah roti canai untuk disumbangkan ke rumah anak-anak yatim dan tahfiz di daerah ini.

“Tempahan daripada pelanggan tidak pernah putus apabila dua kuali sentiasa penuh untuk menggoreng roti canai setiap hari.

“Saya akan terus mengekalkan harga 50 sen selagi mampu sebagai tanda perkongsian rezeki dengan orang ramai dan amal jariah ibu bapa saya yang telah pergi,” ujarnya.

Menurut Md. Kamil, saiz roti canai yang dihasilkannya juga masih sama seperti dahulu meskipun ia dijual pada harga yang sangat murah.

Selain roti canai, dia turut menjual martabak pada harga RM3 sekeping.

Gerainya yang terletak di ­lal­uan utama masuk ke kawasan Air Terjun Jeram Pasu di sini dibuka mulai pukul 3 petang sehingga 12 tengah malam setiap hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI