fbpx

Pasukan kejurulatihan BAM galas misi getir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORZA (tengah) menyampaikan insentif kepada para pemain negara yang meraih kejayaan di pentas Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan SEA Vietnam di Kuala Lumpur semalam.

BARISAN kejurulatihan perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berdepan tugas berat apabila diberi tanggungjawab melahirkan pemain berstatus kedua dan ketiga dalam acara perseorangan lelaki dan wanita.

Ketika ini, badan induk sukan badminton negara itu memiliki Ng Tze Yong selaku pemain terbaik bagi acara perseorangan lelaki, sementara S. Kisona mendahului senarai dalam acara perseorangan wanita.

Bagaimanapun, Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menegaskan, ia masih belum mencukupi dan menggesa barisan kejurulatihan menghasilkan pemain kedua dan ketiga dalam kedua-dua acara tersebut.

“Pasukan perseorangan lelaki BAM sekarang ada Tze Yong sebagai pemain No.1, jadi saya harap (Wong) Choong Hann dan Hendrawan dapat hasilkan pemain kedua serta ketiga. Mereka akan diberikan tempoh enam bulan untuk laksanakannya.

“Semua orang kata kita ada Lee Zii Jia, Tze Yong, Liew Daren dan Cheam June Wei, tetapi daripada perspektif BAM, kita mahu Choong Hann hasilkan pemain No.2 dan No.3 untuk berada di kelompok teratas,” katanya selepas mesyuarat Ahli Lembaga BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara semalam.

Pada masa sama, beliau turut berharap untuk melihat perkara sama turut diterapkan dalam skuad perseorangan wanita memandangkan hanya Kisona yang mampu bersaing dengan pemain kelompok teratas.

“Perseorangan wanita juga berdepan tugas sama untuk menaikkan kedudukan masing-masing dan ia terpulang kepada barisan kejurulatihan. Dr. Tim Jones akan buat penilaian berhubung perkara ini berdasarkan sistem yang sudah dikemukakan,” ujarnya.

Sementara itu, pemenang pingat pada temasya Sukan SEA Vietnam dan Sukan Komanwel Birmingham 2022 mendapat ‘durian runtuh’ apabila menerima insentif keseluruhan bernilai RM245,000 daripada BAM.

Skuad berpasukan campuran Sukan Komanwel yang merangkul pingat emas menerima insentif terbesar apabila mendapat habuan RM140,000, manakala beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah menerima RM50,000 apabila turut meraih emas.

Tze Yong pula mendapat RM10,000 menerusi pingat pe­rak yang dimenangi, sementara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik ma­sing-masing menerima RM7,500 selepas membawa pulang pingat gangsa.

Bagi pemenang pingat emas Sukan SEA, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei pula menerima RM30,000 selepas menewaskan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See 15-21, 21-19, 21-13 di perlawanan akhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI