fbpx

Pesawah muda pemangkin industri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengurus Kanan Jabatan Pengurusan Ladang Bernas, Shukli Suban @ Ani (kiri) bersama tiga pesawah muda melihat contoh padi di Taman Ekspo Pertanian Malaysia, Sedang semalam. – FARIZ RUSADIO

SERDANG – Tiga anak muda sanggup meninggalkan kerjaya dalam bidang kejuruteraan elektrik yang dipelajari ketika di institusi pengajian tinggi dan pulang ke kampung semata-mata untuk bercucuk tanam sebagai pesawah.

Malah, ada dalam kalangan pesawah ini terus cekal mengusahakan bendang biar pun ada daripada mereka sudah beralih ke tanaman lain di samping memajukan diri menggunakan jentera dan teknologi seperti dron.

Muhamad Fauzan

Pesawah itu, Muhamad Fauzan Mat Il, 29; Kamarul Zaman Mat Rani, 40, dan Mohd. Zainuddin Ismail, 41, mempunyai pengalaman dan kisah mereka sendiri sepanjang mengusahakan sawah sekali gus boleh dijadikan inspirasi terbaik untuk anak muda terlibat dalam pertanian.

Berkongsi pengalamannya, Muhamad Fauzan dari Besut, Terengganu berkata, dia terlibat sebagai pesawah sepenuh masa secara serius sejak 2016 iaitu selepas meninggalkan kerjaya dalam bidang pendawaian elektrik.

Katanya, dia sebelum itu menuntut di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Jitra, Kedah jurusan kejuruteraan elektrik serta pulang ke kampung menjaga ibu bapa seterusnya mengambil alih mengusahakan tanaman padi.

Teknologi dron kini diguna pakai dalam penanaman padi.

“Sejak kecil saya telah bergelumang dengan kerja-kerja di sawah milik bapa dan apabila menyambung pelajaran, saya bekerja dalam bidang pendawaian selama dua tahun di negeri utara sebelum berhenti.

“Pada asalnya, saya memikirkan komitmen di kampung untuk jaga ibu bapa dan seterusnya, bertanggungjawab usahakan sepenuhnya penanaman padi tersebut,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini semalam.

Anak kesembilan daripada 10 beradik itu berkata, selain serangan serangga dan penyakit, cabaran utama bagi pesawah di Pantai Timur adalah cuaca yang mengundang masalah banjir sekali gus merosakkan tanaman.

Justeru itu, pengusaha perlu memastikan penanaman dibuat mengikut masa yang tepat bermula Januari untuk musim pertama dan pertengahan Jun bagi musim kedua berbanding di pantai barat pada April dan Oktober.

Ternyata, keputusan Muhamad Fauzan pulang ke kampung berbaloi dan sehingga kini, dia mengusahakan bendang seluas empat hektar dengan hasil pengeluaran padi setiap musim dianggarkan antara 15 hingga 18 tan.

Kamarul Zaman

Kamarul Zaman dari Sungai Besar, Selangor berkata, dia terlibat secara serius mengusahakan bendang sejak berusia 18 tahun memandangkan bapanya juga pesawah dan sehingga kini, mengusahakan sawah seluas 21 hektar.

Ujarnya, dianggarkan pengeluaran setiap musim antara 70 hingga 100 tan dan sejak April lalu, bapa kepada dua anak itu beralih kepada padi wangi kerana tertarik dengan harga yang lebih tinggi serta mahu menceburi tanaman baharu.

“Cabaran terbesar dihadapi adalah ulat batang, padi wangi antara disukai oleh musuh terutama serangga kesing, namun cabaran dihadapi tidak sesekali melunturkan semangat untuk terus cekal mengusahakan bendang.

“Memang ada dalam kalangan pesawah di tempat saya telah beralih ke tanaman lain seperti sayuran atau kelapa sawit. Disebabkan minat dan saya sendiri sudah berbelanja untuk jentera dan dron, saya akan terus kekal mengusahakan padi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman turut menyahut cabaran untuk anak muda terlibat dalam bidang pertanian memandangkan lebih ramai pengusaha bendang di tempatnya dalam kalangan ‘berusia’ berbanding belia.

“Tidak ramai anak muda menceburi bidang ini dan sebab itulah, saya sudah memberi pendedahan awal kepada dua anak lelaki saya (usia 10 dan 12 tahun) dengan penanaman padi,” ujarnya.

Sehingga kini, dia memiliki pelbagai jentera termasuk mesin padi serta dron bagi semburan racun, sekali gus tidak lagi memerlukan pekerja untuk mengusahakan tanaman tersebut.

Mohd. Zainuddin

Berbanding Mohd. Zainuddin berasal dari Besut, dia terlibat secara serius sebagai pesawah sepenuh masa sejak berusia 16 tahun dan sehingga kini mengusahakan sawah seluas empat hektar dengan penghasilan setiap musim antara 15 tan hingga 18 tan.

Katanya, kerugian besar pernah dialaminya apabila serangan siput gondang emas yang menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan kos bagi benih padi selain racun.

“Masalah bagi pesawah padi ini apabila racun yang telah disahkan tidak memberi kesan kepada siput gondang emas menyebabkan ada dalam kalangan pengusaha bendang terpaksa menggunakan racun lain yang diharamkan.

“Justeru penggunaan teknologi juga perlu berubah dalam mengatasi masalah dihadapi pesawah dan ia juga memerlukan kos dan pelaburan,” katanya.

Tambahnya, sebagai pesawah yang turut terlibat dalam pelaksanaan konsep SMART Sawah Berskala Besar, dia bersyukur apabila menerima bantuan daripada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan mampu memberi beberapa peralatan canggih tanam padi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI