KUALA SELANGOR – Polis masih menjalankan siasatan berhubung motif kejadian seorang lelaki maut dengan kesan tembakan di Taman Alam Jaya di sini termasuk kemungkinan kaitannya dengan kongsi gelap.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, identiti sebenar mangsa belum diketahui dengan mayatnya kini berada di Hospital Al-Sultan Abdullah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam bagi bedah siasat.
Katanya, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan cap jari dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan identiti sebenar lelaki itu.
“Polis setakat ini belum dapat mengesahkan maklumat sebenar berkaitan mangsa termasuk pekerjaannya.
“Motif kejadian masih disiasat termasuk kemungkinan berkaitan kegiatan kongsi gelap,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau menegaskan, saksi kejadian yang menetap di kawasan perumahan berhampiran mendakwa terdengar bunyi tembakan dan melihat mangsa terjatuh di jalan itu.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenalpasti suspek yang terlibat dalam kes tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE