fbpx

Tembak gagak dapat upah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua peserta operasi Crow Sharpshooter (Ops Cross MBSP) sedang memburu gagak yang berkeliaran di sekitar Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Tembak sehingga 5,000 ekor gagak dan setiap burung yang berjaya ditembak akan dibayar sebanyak RM5 seekor.

Itu yang dijanjikan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kepada 63 penembak berlesen dari seluruh negara yang mengambil bahagian pada edisi pertama operasi memburu gagak atau operasi Crow Sharpshooter (Ops Cross MBSP) 2022.

Bukan itu sahaja, Trofi Anugerah Penembak Terbaik bagi setiap edisi serta Trofi The Crow Sharpshooter juga disediakan kepada penembak terbaik keseluruhan.

Datuk Bandar MBSP, Datuk Azhar Arshad berkata, ini kali pertama pihaknya menganjurkan pertandingan menembak secara terbuka dalam usaha menghapuskan serta mengawal limpahan populasi burung itu di Seberang Perai susulan peningkatan aduan diterima berhubung isu kacau ganggu gagak sejak tahun lepas iaitu sehingga 283 kes berbanding 120 kes pada 2019.

“Gagak dianggap haiwan perosak kerana suka mencemari sesuatu kawasan dengan najis, menghasilkan gangguan bau, bunyi serta mampu membiak dengan cepat jika tidak dikawal,”  katanya ketika melancarkan operasi itu di Bandar Perda, Bukit Mertajam di sini hari ini.

Difahamkan, MBSP sebelum ini menggunakan dua kaedah untuk mengawal populasi burung tersebut iaitu melalui Crow Abundance Mapping (CrAM) yang membabitkan analisis aduan serta tinjauan lokaliti secara ‘walk-through’ pada setiap tahun bagi mengenal pasti kawasan ‘hotspot’ lambakan gagak.

Dalam pada itu, Azhar memberitahu, selepas edisi pertama di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ini selesai, edisi kedua iaitu di Seberang Perai Utara (SPU) akan diadakan pada 24 September diikuti oleh edisi terakhir pada 15 Oktober di Seberang Perai Selatan (SPS).

“Untuk tujuan keselamatan awam, MBSP telah menetapkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) dan syarat-syarat khusus untuk dipatuhi peserta pada setiap masa,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI