JAKARTA – Pemerintah Indonesia dan Arab Saudi bersetuju menyambung semula pengambilan pembantu rumah dari Jakarta selepas ia digantung selama 11 tahun, lapor akhbar Saudi Gazette kelmarin.
Penyambungan semula pengambilan pekerja itu mula berkuatkuasa kelmarin.
Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial Saudi untuk Buruh, Dr. Abdullah Abuhunain dan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Ida Fauziyah menandatangani perjanjian projek ‘Saluran Tunggal’ untuk menyambung semula pengambilan pekerja Indonesia ke Arab Saudi.
Pekerja Indonesia itu diperlukan dalam beberapa profesion.
Di bawah perjanjian itu, pengambilan akan dibuat melalui syarikat pengambilan berkuat kuasa dari tarikh perjanjian ditandatangani.
Perjanjian itu dimuktamadkan dalam satu majlis yang diadakan di Bali dengan dihadiri Timbalan Menteri Hal Ehwal Antarabangsa Arab Saudi, Dr. Adnan Al-Naim bersama wakil Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Kesihatan Arab Saudi semasa lawatan rasmi mereka ke Indonesia.
Langkah itu membuktikan kesungguhan Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial untuk menyatukan saluran pengambilan pekerja domestik Indonesia serta memudahkan proses pengambilan dari Jakarta.
Ini bertujuan untuk melindungi hak semua pihak yang terlibat dalam hubungan kontrak dan mempelbagaikan kerakyatan pekerja untuk memenuhi keperluan dan keperluan pasaran buruh Arab Saudi.
Indonesia menggantung penghantaran pembantu rumah ke Arab Saudi dan negara lain di rantau Asia Barat pada 2011 berikutan hukuman mati terhadap seorang pembantu rumah selepas dia disabitkan bersalah membunuh majikannya di Riyadh. – Agensi