WASHINGTON – Syarikat multinasional Amerika Syarikat (AS), Johnson & Johnson (J&J) akan berhenti menjual bedak bayi berasaskan talkum ke seluruh dunia bermula tahun 2023, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Keputusan itu dibuat selepas lebih dua tahun J&Ja menamatkan penjualan produk tersebut di AS dan Kanada susulan polemik saman daripada beribu-ribu pengguna bedak berkenaan.
“Sebagai sebahagian daripada penilaian portfolio di seluruh dunia, kami membuat keputusan komersial untuk beralih kepada portfolio bedak bayi berasaskan tepung jagung.
“Bedak bayi berasaskan jagung juga sudah dijual di kebanyakan negara di dunia,” demikian menurut kenyataan J&J
Pada tahun 2020, J&J mengumumkan bahawa ia akan menghentikan penjualan bedak talkum bayi di AS dan Kanada kerana permintaan menurun akibat peningkatan kes saman.
Syarikat itu berdepan kira-kira 38,000 saman daripada pengguna yang mendakwa produk talkumnya menyebabkan kanser kerana mengandungi bahan karsinogen iaitu asbestos.
J&J menafikan dakwaan itu dan berkata, ujian saintifik dan kelulusan kawal selia selama beberapa dekad menunjukkan talkumnya selamat dan bebas daripada asbestos.
Syarikat itu menamatkan operasi anak syarikatnya, LTL Management pada Oktober tahun lalu berikutan lambakan saman yang menjadikan perniagaan tersebut muflis sekali gus menyebabkan tuntutan yang masih belum didengari di mahkamah tergendala.
Sebelum pemfailan kebankrapan, LTL menanggung kos AS$3.5 bilion (RM15.5 bilion) dalam bentuk keputusan mahkamah dan dan penyelesaian di luar mahkamah. Ini termasuk ganti rugi lebih AS$2 bilion (RM8 bilion) yang diberikan kepada 22 wanita dalam satu tuntutan saman berkumpulan. – Agensi