PETALING JAYA – Rata-rata orang ramai mula bosan dengan ‘drama’ yang sering ditimbulkan oleh usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri.
Terbaharu, beliau memuat naik video sedang menangis teresak-esak dan mengakui dirinya mempunyai masalah mental tahap dua sehingga ke hari ini sudah tidak tahu untuk berbuat apa-apa.
Dalam pada itu, Aliff turut memohon maaf kepada orang ramai atas segala kesilapannya selama ini serta memaklumkan bakal mengundur diri dari media sosial.
“Bye-bye, selamat tinggal Instagram, awak adalah permainan yang terindah buat saya. Bukan senang nak ada kawan banyak ini.
“4.3 juta kawan dan semua media sosial saya seperti Instagram, Facebook dan TikTok yang berjuta-juta. Saya sebenarnya ada sakit mental tahap dua, tak tahan sudah,” katanya.
Terdahulu, video promosi lagu dangdut berjudul Baby Sayang di Instagram miliknya mendapat kecaman hebat orang ramai apabila memperlihatkan teman duetnya, Baby Shima menari ‘panas’ disisinya.
Sementara itu, meninjau ke ruangan komen, pelbagai reaksi turut ditinggalkan oleh pengguna media sosial.
“Sudah 40 kali ‘bye-bye’, bila nak padam Datuk?,” ujar seorang pengguna.
“Patutlah buat video bukan-bukan, pesakit mental rupanya, kesian Datuk Aliff, tak baik yang lain suka kutuk Datuk Aliff,” komen pengguna lain.
“Drama kuat usahawan seorang ini, buktikan surat doktor dulu,” kata seorang pengguna lagi. – KOSMO! ONLINE