KUALA LUMPUR – Tekanan akibat kehilangan pekerjaan dipercayai punca seorang suami tergamak memukul isterinya dengan getah paip dan batang buluh dalam kejadian di kediaman mereka di Wangsa Melawati, di sini semalam.
Tambah menyedihkan, wanita berusia 29 tahun itu turut dipukul dengan wayar telefon di hadapan dua anak perempuan mereka, bahkan mereka bertiga turut dikurung dalam bilik tidur.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 12 tengah hari ketika wanita tersebut bertengkar dengan suaminya yang berumur 20-an.
“Ketika pergaduhan berlaku, suspek telah menyimbah muka mangsa dengan air suam dan membelasahnya dengan paip getah, batang buluh serta wayar telefon.
“Suspek kemudiannya mengurung isteri bersama dua anak perempuan di dalam bilik tidur. Salah seorang anak mereka bertindak menghubungi ahli keluarga sebelum polis tiba untuk menyelamatkan mereka,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurutnya, polis telah memberkas suspek pada hari yang sama dan mendapati kerap bergaduh serta memukul isterinya sebelum ini, namun mangsa tidak membuat laporan polis.
Jelas beliau, pasangan itu dikatakan kerap bergaduh akibat perselisihan faham selepas suspek hilang pekerjaan sejak pandemik Covid-19.
Katanya, suspek direman sehingga 14 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Keganasan Rumah Tangga. – KOSMO! ONLINE