GEORGE TOWN – Penduduk di sebuah apartmen di Lilitan Sungai Ara, Bayan Lepas di sini gempar dengan kejadian seorang wanita yang ditemui terjatuh dari tingkat 19 bangunan terbabit dalam keadaan mendakap senaskah al-Quran pagi tadi.
Mangsa berusia dalam lingkungan 30-an itu dijumpai dalam keadaan mengiring dan sedarkan diri di tempat letak kenderaan di aras empat perumahan berkenaan kira-kira pukul 11.45 pagi.
Difahamkan, mangsa yang sudah berumah tangga itu dikatakan bertindak terjun dari unit kediamannya.
Mangsa ditemui dalam keadaan separuh sedar oleh orang awam sebelum menghubungi pasukan bomba dan polis untuk tindakan lanjut.
Usaha membantu mengangkat mangsa dilakukan pasukan St. John Ambulans.
Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapat rawatan. KOSMO! ONLINE