KUALA LUMPUR – “Saya rasa isu ini tiada kena-mengena dengan saya”.
Itu kata pelakon popular, Fazura mengulas isu panas namanya ‘dipetik’ individu bernama Diana ketika Neelofa dan suaminya, PU Riz bersiaran langsung dalam TikTok, kelmarin.
Pemilik nama penuh Nur Fazura Sharifuddin bertegas, enggan melayan sebarang provokasi, sebaliknya hanya tumpukan perhatian terhadap diri sendiri.
“Apa yang berlaku di luar sana saya tak mahu ambil tahu. Lebih baik saya fokus dalam hidup saya sahaja.
“Sebenarnya Diana ke, apa benda namanya, saya (cuma) ada dengar pasal perkara ini.
“Saya tak boleh nak jawab, tak tahu apa nak jawab sebab tiada kaitan dengan saya.
“Mungkin soalan ini pun tak wajar diajukan kepada saya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Selebriti berusia 39 tahun itu ditemui selepas sidang media Konsert Faztival Fazura 2022 di Hotel Mandarin Oriental, di sini.
Terdahulu, menerusi video yang tular, seorang pengguna TikTok dikenali Diana Finaa meninggalkan komen berbaur provokasi apabila membayangkan Fazura turut mengeluarkan produk inai seperti Neelofa.
“Kalau Fazura keluar inai mesti lagi best,” tulis individu berkenaan di ruangan komen.
Susulan komen tersebut, bekas pengacara MeleTOP itu meminta moderator laman sosialnya menyekat Diana daripada mengikutinya.
Sementara itu, pada majlis sama Fazura buat julung kali mengadakan konsert mega yang menghimpunkan penyanyi Malaysia dan Indonesia di Axiata Arena pada 11 September ini.
Antara selebriti yang menjadi pilihannya ialah Datuk M. Nasir, Datuk Awie, Ella, Ruffedge, Ippo Hafiz, Zizi Kirana dan Ippo Hafiz, selain Ahmad Band serta Mulan Jameela.- KOSMO! ONLINE