WASHINGTON – Seorang wanita di Texas, Amerika Syarikat (AS) bernasib baik kerana berjaya diselamatkan selepas keretanya terjatuh ke dalam tanah jerlus yang terbentuk di tengah jalan raya, lapor akhbar New York Post.
Wanita yang identitinya tidak didedahkan itu memandu sebuah kereta sedan berwarna putih di bandar El Paso, Texas, sekitar pukul 6.40 petang (waktu tempatan) kelmarin apabila sebuah lubang besar terbentuk di bawah keretanya semasa hujan lebat.
Beberapa penduduk dan anggota bomba El Paso datang membantu dan berjaya mengeluarkan wanita itu daripada kereta sebelum kenderaan mangsa terbenam ke dalam lubang dalam itu.
Tiada sesiapa yang parah dalam kejadian itu, manakala tiga anggota bomba dan wanita berkenaan dibawa ke hospital kerana mengalami cedera ringan.
“Terima kasih kepada penduduk yang baik hati membantu anggota bomba dalam misi menyelamat ini,” kata jabatan bomba tempatan di laman Facebook.
Sehingga kelmarin, bahagian jalan dengan lubang benam itu masih ditutup oleh polis. – Agensi