SEOUL – Pihak berkuasa di ibu negara Korea Selatan, Seoul akan mengharamkan pembinaan kediaman bawah tanah dan separa bawah tanah selepas empat orang mati lemas di flat bawah tanah semasa banjir kilat dan hujan lebat minggu ini, lapor laman berita Wion News kelmarin.
Kediaman seperti itu dikenali sebagai ‘Flat Parasit’ di Korea Selatan.
Seoul dilanda hujan ribut dan banjir kilat yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 11 orang meninggal dunia dan banyak kawasan mengalami gangguan bekalan elektrik.
Banjir menenggelamkan jalan raya dan beberapa stesen kereta api bawah tanah di negara itu. Menurut beberapa laporan, tujuh orang dilaporkan hilang manakala 17 yang lain cedera.
Pihak berkuasa bandar raya itu mahu menghapuskan flat bawah tanah secara berperingkat. Menurut laporan tempatan, pemilik-pemilik kediaman berkenaan akan diberi masa antara 10 hingga 20 tahun untuk mengalihkan struktur bawah tanah yang berkembang pesat di Seoul.
Perkembangan itu berlaku selepas pihak berkuasa menemui mayat tiga sekeluarga di salah sebuah flat berkenaan yang ditenggelami air.
Mangsa yang maut termasuk seorang wanita, saudara perempuannya dan seorang remaja perempuan. Seorang wanita lain juga ditemui mati di lokasi berlainan.
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol dilaporkan melawat kawasan lokasi di mana tiga ahli keluarga itu meninggal dunia. Laporan mendakwa bahawa sekurang-kurangnya dua warganegara China turut maut dalam bencana tanah runtuh yang berlaku akibat hujan lebat.
Pasukan penyelamat memindahkan sekurang-kurangnya 500 orang ke kawasan lebih selamat, manakala hampir 2,800 struktur di bandar raya itu rosak termasuk sejumlah rumah dan kedai.
Ribut dan banjir kilat yang melanda Seoul pada minggu ini adalah yang terburuk dalam tempoh 80 tahun. – Agensi